JUN 2025

Sarawak Hantar Kontinjen Para Ke Jerman Mulai 16-25 Jun


KUCHING: Sarawak akan menghantar kontinjen terdiri daripada 13 atlet para, jurulatih dan pegawai sokongan pada program German-Sarawak Special Athlete Sportsman yang berlangsung di Berlin, Jerman mulai 16 hingga 25 Jun ini.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, penyertaan itu merupakan peluang kolaborasi antarabangsa membabitkan sesi latihan, pertandingan serta taklimat teknikal bersama pakar Paralimpik Jerman.

Delegasi diketuai Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Sarawak (PESRON), Matthew Chin Hiong Choi dan turut disertai atlet seperti Richard Ganie James Sigan, pemenang pingat emas Para Sukma 2018, 2022 dan 2024 serta Nur Farhani Kudus, pelajar UiTM yang merangkul pingat gangsa di IPC Grand Prix India baru-baru ini.

“Antara tokoh penting yang akan mereka temui ialah Ralph Paulo, Ketua Paralimpik Brandenburg, yang telah membantu atlet Jerman meraih lebih 20 pingat emas di peringkat antarabangsa termasuk Paralimpik Rio, Tokyo dan Paris,” katanya semasa sidang media di Baitul Makmur II hari ini.

Tambahnya, program tersebut juga akan melibatkan sesi bimbingan bersama pakar pemakanan, psikologi sukan serta lawatan ke fasiliti latihan bertaraf dunia di Jerman.